Search

Tapai (Ubi/Pulut) Halal atau Haram

“Arak ialah Alkohol dlm bentuk ethyl alcohol dan merupakan sejenis dadah
yang bertindak ke atas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan. Ia
dihasilkan oleh sel2 ragi atau yeast yg bertindak ke atas karbohidrat yang
terdpt dlm buah2an atau biji2an.”

Definisi arak sebenarnya ialah: Sesuatu yang mengandungi alkohol yang
memabukkan dan dikenali juga dengan panggilan minuman keras.

Semua arak mengandungi alkohol dari jenis ethyl alkohol atau pun nama
lainnya etanol tetapi etanol semata-mata adalah bukan arak kerana tidak ada
pun arak yang terdiri semata-mata hanya etanol. Tambahan pula etanol selain
boleh dihasilkan dari proses penapaian ragi / yeast , ia juga boleh
dihasilkan di dalam makmal tanpa melibatkan langsung proses penapaian.

Secara umumnya, arak boleh di kategorikan kepada:
1. Bir mengandungi 6% alkohol etanol
2. Wain yang mengandungi 10-20% alkohol etanol
3. Wiski yang mengandungi 35% alkohol etanol

Apa yang diharamkan oleh Islam adalah arak yang mana arak ini terdiri
daripada air, karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol iaitu
sejenis alkohol.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Ibn Umar mafhumnya:
“Daripada Ibn Umar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda; semua yang
memabukkan adalah arak, dan semua yang memabukkan adalah haram”.

Jumhur ulamak mengelaskan arak sebagai najis. Apabila arak ini dikategorikan
sebagai najis, apa yang najis bukanlah etanol sahaja yang terkandung di
dalam botol arak tetapi apa yang dihukumkan najis adalah juga keseluruhan
arak yang terdiri daripada air, karbohidrat, mineral, vitamin dan etanol.
Air di dalam arak adalah najis dan begitulah juga vitamin yang terkandung di
dalam arak. Sekiranya diasingkan air daripada minuman arak yang 100% terdiri
hanya air, ia adalah tetap di katakan najis kerana air ini berasal dari
najis arak. Sekiranya etanol dari arak ini diasingkan lalu menjadi 100%
etanol, ia tetap najis kerana berasal dari najis arak. Namun sebarang etanol
yang diperolehi selain daripada arak, ia adalah tidak najis. Kebanyakan
alkohol di makmal tidak diperolehi daripada arak.

Nasi yang dimasak pada tengahari atau petang apabila dibiarkan semalaman
lalu di makan keesokan harinya, ia sudah mengandungi sedikit alkohol.
Alkohol di dalam nasi ini boleh diasingkan melalui proses penyulingan.
Persoalannya adakah nasi yang berusia hampir 24 jam ini dihukum sebagai
haram kerana mengandungi etanol?? Hukumnya tetap halal dan masih harus
dimakan kerana nasi ini tidak memabukkan hatta kalau dimakan sebanyak 3
pinggan.

Tapai pulut dan tapai ubi sangat sedap sekali. Ia dibuat dengan memasak
pulut atau ubi sehingga masak dan setelah masak ia disejukkan pada suhu
bilik. Selepas sejuk ia dicampurkan dengan ragi yang sudah ditumbuk halus.
Kemudian ia dibungkus atau dibiarkan dalam periuk atau sebarang bekas selama
2 atau 3 hari. Menjadilah makanan ini tapai pulut atau tapai ubi. Amat manis
sekali dan sungguh menyegarkan.

Proses membuat tapai ini dinamakan Proses Penapaian di mana yeast atau ragi
tersebut menukarkan karbohidrat kanji di dalam pulut atau ubi menjadi glukos
di samping pembebasan air, karbon dioksida dan pelbagai vitamin lain sebagai
hasil sampingan. Proses penukaran karbohidrat kepada glukos ini tidak
terhenti disitu kerana ragi /yeast akan terus menukarkan glukos yang
terbentuk kepada etanol.

Daripada penjelasan ini bermakna, tapai ubi / pulut yang telah diperam
selama 2 atau 3 hari tersebut telah mengandungi air, glukos, etanol selain
vitamin dan produk lain. Persoalannya ialah adakah tapai ini haram dan najis
kerana kandungan di dalamnya adalah menyamai dengan minuman bir?

Jawapan kepada persoalan ini ialah tapai pada usia 2 atau 3 hari ini adalah
halal kerana ia bukan sesuatu yang memabukkan. Kalau minum / makan tapai
dengan kuantiti banyak pun memang ia tidak memabukkan. Tapai pada usia ini
iaitu 2 atau 3 hari hanya mengandungi sedikit kandungan alkohol etanol namun
kandungan etanol dalam tapai ini adalah lebih tinggi daripada nasi yang
sudah berumur hampir 24 jam.

Apabila tapai pulut atau tapai ubi ini dibiarkan pada suhu bilik untuk
beberapa hari lagi, lebih banyak karbohidrat kanji ditukarkan kepada glukos
dan etanol. Tapai yang sudah berusia 6 hari rasanya walaupun manis namun
terdapat rasa yang tidak enak dan rasa ini sebenarnya adalah disebabkan rasa
etanol. Pada usia tapai 6 hari ini, kandungan etanol di dalam tapai boleh
menjangkau lebih daripada 6 atau 7 peratus iaitu menyamai kandungan etanol
di dalam bir. Sekiranya kita makan tapai ini bersama airnya dalam kuantiti
satu gelas besar, insya-Allah muka akan menjadi warna kemerahan dan kepala
mula pening dan inilah yang dikatakan MABUK. Pada tahap ini tapai yang
asalnya adalah harus telah menjadi haram kerana ia memabukkan.


Bagi mereka yang ingin sekali minum arak, mereka selalu berhujah “saya tahu
bir memabukkan tetapi kalau saya minum sedikit bir pastinya ia tidak
memabukkan”. Persoalan seperti ini adalah persoalan yang diajarkan oleh
syaitan semoga manusia minum bir.

Jumhur ulamak telah memutuskan bahawa “setiap yang apabila diminum banyak
memabukkan, maka sedikit pun adalah diharamkan.” Berdasarkan ketetapan ini
maka bir adalah diharamkan sama ada ia diminum sedikit atau pun banyak.

Terdapat minuman bir tanpa alkohol dan adakah minuman ini diharuskan?? Dari
penjelasan saya di atas telah dinyatakan bahawa minuman arak adalah najis.
Najis ini merangkumi segala komponen arak ini termasuk air, glukos, etanol,
vitamin dan segala garam galiannya. Sekiranya arak yang terbentuk ini
disuling untuk mengeluarkan segala alkohol etanolnya sehingga tidak ada lagi
baki etanol dalam arak ini, umat islam tetap tidak boleh minum arak tiada
alkohol ini kerana ia adalah tetap dihukumkan sebagai najis.

Pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Ipoh pada
11-14 April, 1984, Majlis Fatwa telah mcngambil keputusan tentang alkohol
iaitu:
1. Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol
itu daripada arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan
najis tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak
hukumnya tidak najis tetapi haram diminum Berdasarkan keputusan ini,
pembuatan Mousy dan Malt Extract adalah haram.

2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada
mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram
diminum.

3. Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bahan
yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

**4. Tapai halal dimakan

5. Alkohol yang terjadi secara sampingan dalam proses pembuatan makanan
tidak najis dan boIeh dimakan.
6. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol hukumnya harus dan
dimaafkan.

** Apa yang perlu ditegaskan berhubung keputusan majlis fatwa nombor 4 di atas
yang mengatakan bahawa tapai halal dimakan adalah tidak mencukupi atau tidak
lengkap. Memanglah tapai yang berusia 2-4 hari adalah halal dimakan dan
tidak memabukkan tetapi tapai yang dibiarkan pada suhu bilik melebihi 5 atau
6 hari adalah haram dan memabukkan. Namun tapai yang dibeli dan disimpan di
dalam peti sejuk insya-Allah boleh terus dimakan walaupun berusia seminggu
kerana proses penapaian oleh ragi / yeast adalah teramat perlahan apabila
disimpan di dalam peti sejuk kerana suhunya yang rendah.


Apa yang menarik sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Islam ialah apabila
arak ini telah bertukar kepada cuka, ia menjadi halal semula. Bermula
sebagai halal iaitu pulut dan ubi serta tapai, kemudian ia bertukar kepada
haram apabila menjadi minuman memabukkan namun apabila ia bertukar kepada
cuka, ia kembali halal walau pun di dalam cuka ini mengandungi sedikit
etanol yang masih belum sempat bertukar.

Karbohidrat kanji (halal) => glukos (halal) => etanol (sedikit halal banyak
haram) => cuka (halal)

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Apa yang menarik sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Islam ialah apabila
arak ini telah bertukar kepada cuka, ia menjadi halal semula. Bermula
sebagai halal iaitu pulut dan ubi serta tapai, kemudian ia bertukar kepada
haram apabila menjadi minuman memabukkan namun apabila ia bertukar kepada
cuka, ia kembali halal walau pun di dalam cuka ini mengandungi sedikit
etanol yang masih belum sempat bertukar.

Karbohidrat kanji (halal) => glukos (halal) => etanol (sedikit halal banyak
haram) => cuka (halal)

Assalamualaikum. Nak tanya, macam mana tau ia bertukar menjadi cuka? Berapa lama? Kalau peram tapai dengan ragi selama 1 - 2 bulan, adakah air yg keluar kita halal? Adakah masa tu ia bertukar menjadi cuka? Adakah ia halal diminum?