Search

Dalil Judi Haram

0 comments

Judi Adalah Haram



Di sisi para fuqaha, judi dikenali sebagai Al-Maisir dan Al-Qimar. Ia bermaksud permainan yang mengandung unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut[1].



Judi adalah haram dalam Islam. Ini berdasarkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Allah taala berfirman yang bermaksud



“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Al-Baqarah : 219)



“Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi (Al-Maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji) termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakannya).” (Al-Maidah : 90 – 91)



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud



“Barangsiapa berkata kepada saudaranya marilah kita bermain judi, maka hendaklah dia bersedekah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



Berdasarkan dalil-dali di atas dapat disimpulkan bahawa Islam menjadikan judi sebagai satu kesalahan yang serius dan memandang hina apa jua bentuk judi. Ini dapat dilihat dari petunjuk-petunjuk berikut;



1. Judi disebut dan diharamkan bersama dengan perbuatan minum arak, berkorban untuk berhala (syirik) dan menenung nasib. Kesemua ini adalah dosa besar di dalam Islam.

2. Judi disifatkan sebagai najis untuk menggambarkan kekejiannya.

3. Kehinaan judi diperkuatkan dengan pernyataan bahawa ia adalah amalan syaitan.

4. Allah menggunakan perkataan ‘Jauhilah’ untuk menunjukkan pengharamannya. Perintah menjauhi judi lebih keras dari mengatakan bahawa ia adalah haram. Ertinya umat Islam bukan hanya dituntut untuk tidak berjudi tetapi juga tidak mendekatinya atau apa jua jalan kepadanya. Ini sama seperti larangan dari mendekati zina.

5. Allah sertakan dalam ayat pengharaman itu, akibat-akibat buruk dari berjudi.

6. Akibat buruk yang dinyatakan berkaitan dengan perkara yang dianggap penting dalam Islam iaitu menjaga kesatuan, persaudaraan dan mendirikan solat. Oleh kerana perkara ini adalah penting dalam Islam, maka apa jua yang boleh merosakkannya adalah suatu yang dipandang berat.

7. Dalam Al-Maidah : 90-91, Allah bukan hanya perintah agar menjauhi judi bahkan Ia memperkuatkan perintah tersebut dengan seruan agar meninggalkannya sebagai penegasan.

8. Siapa yang mengajak saudaranya berjudi sahaja, diperinthkan oleh Rasulullah s.a.w bersedekah sebagai kafarah terhadap dosanya apa lagi jika melakukannya.



Oleh itu, pengaharaman judi adalah sesuatu yang tsabit dengan dalil qat’ii sama seperti pengharaman ke atas babi. Ertinya dalam apa jua keadaan dan tempat, judi adalah haram sehingga hari Kiamat. Larangan terhadapnya tidak dapat ditafsirkan dengan pengertian lain.



Apa yang tidak tsabit secara qat’ii ialah bentuk-bentuk permainan yang dikategorikan sebagai judi. Dalam aspek ini sememangnya terdapat khilaf dikalangan ulama kerana permainan selalunya berkembang dari masa ke semasa dan berbeza-beza antara dahulu dan sekarang dan antara kalangan kaum.


Cukup Bagi Kita Al-Quran



Oleh kerana itu pendirian seorang muslim dalam persoalan judi ialah untuk menerima ketentuan Allah taala dengan yakin akan keburukan judi. Walau pun terdapat pelbagai hujah dan kajian saintifik yang dibuat oleh pelbagai pihak bagi menjustifikasikan judi samada untuk tujuan ekonomi, sosial dan lain-lain.



Babi tidak akan boleh menjadi halal walau pun para saintis dapat membuktikan faedah yang ada padanya. Begitulah juga judi.



Seorang muslim wajib menolak judi dan membanterasnya walau pun ia tidak lihat atau belum lihat tanda-tanda negatif dari perbuatan judi.



Keimanan kita terhadap Allah taala dan kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah cukup bagi menolak judi samada sikit atau banyak, untuk tujuan peribadi atau manfaat sosial. Ini sejajar dengan firman Allah taala yang bermaksud



“Alif Lam Mim, (Al-Quran) itu adalah kitab yang tiada keraguan padanya dan petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah : 1-2)



“Demi tuhankau (Muhammad), sesungguhnya mereka belum beriman sehingga mereka menjadikan kau sebagai hakim dalam perkara yang mereka berselisih dan tidak merasa keberatan atas apa yang kamu putuskan dan menerima dengan sepenuhnya” (An-Nisa’ : 65)



Walau pun begitu, ini tidak bermaksud untuk menghalang umat Islam dari membuat pelbagai kajian berkaitan judi secara objektif. Seperti kajian mengenai kesan judi terhadap masyarakat, individu dan psikologi penjudi.



Hari ini judi sudah menjadi satu amalan sosial yang biasa. Ia bahkan menjadi satu industri tersendiri yang memberi pekerjaan pada ratusan tenaga manusia, pendapatan bilion dolar bagi pemerintah dan syarikat judi, sumbangan bilion dolar juga kepada kerja kemasyarakatan. Begitu besar manfaat ini, sehingga ia mengaburi mata dan menggoncang keyakinan adakah benar judi itu hina dan tidak baik?



Dalam hal ini suka dipertegaskan bahawa Islam tidak menafikan kewujudan manfaat dari judi. Namun judi tetap diharamkan bukan kerana ia tidak ada faedah tetapi kerana mudarat yang timbul dari berjudi lebih besar dari faedah yang boleh diraih. Ini dengan jelas dinyatakan dalam Al-Baqarah : 219.



Ini tidak akan berubah walau pun pada hari ini ramai yang berjudi secara suka-suka atau kecil-kecilan dan judi yang diinstitusikan tidak pula mencetus permusuhan, pergaduhan dan ibadah kepada Allah taala.


Antara Permainan & Judi



Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut;



1. Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.

2. Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.

3. Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.



Berdasarkan ini, para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.



Satu permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.” Ini berdasarkan kepada sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang mana Rasulullah s.a.w diajak oleh seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa kambing, jika Rasulullah s.a.w menang. Rasulullah s.a.w menerima cabaran itu dan beliau menang dalam pertandingan[2].



Di dalam sebuah hadits juga diriwayatkan dari Anas



“Ditanyakan kepada Anas Apakah kamu bertaruh di masa Rasulullah s.a.w? Apakah Rasulullah s.a.w bertaruh? Anas menjawab Ya, beliau telah mempertaruhkan seekor kuda yang dinamakan Sabhah, lalu taruhan itu dimenangkan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau senang terhadap hal itu dan mengaguminya.” (Riwayat Ahmad)



Apa jua permainan yang apabila seorang di antara yang bertaruh menang lalu mendapatkan taruhan itu sedang bila kalah maka dia berhutang kepada temannya dianggap sebagai judi yang diharamkan[3].


Loteri Adalah Judi



Berkaitan dengan loteri dan permainan 4D atau TOTO pada hari ini, Muhammad Abduh berpendapat bahawa walau pun permainan seperti ini mempunyai ciri-ciri



· Tidak menimbulkan permusuhan, kebencian dan tidak menghalangi pembelinya dari perbuatan mengingat Allah taala dan mendirikan solat kerana para pembeli permainan-permainan ini tidak berkumpul di satu tempat, bahkan mereka berada dijarak yang jauh dan berlainan dari tempat perlaksanaan permainan.

· Dalam bermain permainan ini juga, pembeli tidak terhalang dari berzikir dan bersolat berbeza dengan mereka yang menghadap meja judi kerana berjudi.

· Para pembeli tidak mengetahui orang yang memakan hartanya berbeza dengan judi biasa.



Namun, mengikut Muhammad Abduh, dalam pelaksanaannya undian loteri (juga 4D dan TOTO – penulis) ini terdapat akibat-akibat buruk seperti yang juga terdapat pada jenis judi yang lain adalah kenyataan bahawa perlaksanaan undian loteri ini merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah iaitu tanpa balasan yang jelas seperti pertukaran harta itu dengan benda lain atau dengan satu jasa. Cara-cara ini diharamkan oleh Islam[4].



Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menulis bahawa apa yang sekarang ini dinamakan dengan ‘loteri’ adalah semacam cabang dari perjudian juga, yang mana tidak seharusnya dipandang remeh serat membolehkannya atas nama badan bantuan sosial dan kerana tujuan-tujuan kemanusiaan. Sebenarnya orang-orang yang membolehkan bermain loteri kerana tujuan-tujuna yang tersebut seperti orang-orang yang mengumpul dana sumbangan kerana tujuan-tujuan khairat dnegan mengadakan majlis-majlis joget dan pertunjukan seni yang haram. Sebaik-baiknya kita katakan kepada orang ini sebagaimana yang disabdakan oleh nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud



“Sesungguhnya Allah itu Baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja” (Riwayat Muslim)[5]


Lumba Kuda Dalam Islam



Islam menggalakkan umatnya beriadah dengan berkuda. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud



“Lemparkanlah (panah) dan tungganglah (kuda)!” (Riwayat Muslim)



“Kuda itu ada tiga macam. Kuda yang dimaksudkan untuk Allah, kuda yang dimaksudkan untuk manusia dan kud ayang dimaksudkan untuk syaitan. Adapun kuda yang dimaksudkan untuk Allah, ialah kuda yang disediakan untuk berperang pada jalan Allah, maka makanannya, tahinya, lalu beliau sebut lagi bermacam-macam (semuanya ada kebaikannya). Adapun kuda yang disediakan untuk syaitan, itulah kuda yang disediakan untuk berjudi dan untuk pertaruhan. Adapun kuda yang disediakan untuk manusia, itulah kuda yang dipelihara manusia untuk dibiakkan, maka itu adalah untuk menutup diri dari kemiskinan.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)



Dalam konteks hari ini, permainan Polo dan equestrian sebagai satu riadah dibolehkan dalam Islam. Perlumbaan menunggang kuda juga dibolehkan jika sebagai satu pertandingan yang mana pemenangnya mendapat hadiah dari pihak ketiga bukan dari taruhan para pelumba. Yang haram ialah perbuatan bertaruh dan menikam oleh para penonton bagi menentukan kuda yang menang.



Oleh kerana perlumbaan kuda hari ini diwujudkan tidak lain kecuali untuk menarik taruhan dari masyarakat umum, maka secara umum perlumbaan kuda hari ini menjadi haram kerana tujuannya yang menyimpang. Ini sejajar dengan hadits yang dinyatakan di atas.


Tikam Bola Juga Judi



Tidak syak lagi bahawa permainan menikam keputusan pertandingan bola di Liga S juga adalah judi. Maka ia adalah haram dalam Islam.


Cabutan Bertuah = Judi?



Cabutan bertuah yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat bagi menggalak penjualan barangannya atau yang dianjurkan oleh badan-badan bagi mengumpul dana atau yang diadakan dalam majlis-majlis tertentu tidak dianggap sebagai judi. Ini kerana tiada pertaruhan antara pemegang tiket cabutan bertuah berkenaan. Cabutan bertuah bagi tujuan perdagangan, pembeli telah mendapat manfaat wangnya dengan memperolehi barangan yang diberi.



Cabutan bertuah itu hanyalah satu janji peniaga / pengumpul dana untuk memberi hadiah kepada mereka yang membeli barangannya atau yang telah menderma, sebagai tanda terima kasih dan bagi galakan. Oleh kerana ramai yang memenuhi syarat bagi menerima hadiah yang dijanjikan, maka undi dibuat bagi menentukan siapa yang berhak untuk mendapat hadiah yang terhad jumlahnya.



Cabutan bertuah melalui undi yang tidak mengandungi kerosakan sama sekali bahkan mengandungi manfaat seperti cabutan bagi kuiz berhadiah dan promosi perdagangan dibenarkan[6].



Membuat keputusan secara mengundi seperti ini adalah dibenarkan dalam Islam. Dalam sebuah hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w apabila ingin bermusafir mengundi isteri-isterinya untuk menentukan siapa yang akan mengikutinya.


Penggunaan Wang Hasil Judi



Wang hasil judi haram dimanfaatkan oleh pemenang judi atau sesiapa yang menerima pemberian dari wang berkenaan. Apa yang boleh dilakukan ialah wang tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam Baitul-Mal. Wang ini menjadi milik Baitul-Mal untuk digunakan bagi faedah umum kaum Muslimin.



Derma dari hasil yang sedemikian jika digunakan untuk membina masjid hukumnya adalah makruh dan amalannya itu tidak merupakan satu kebajikan kerana Rasulullah telah bersabda, yang bermaksud



"Sesungguhnya Allah itu Suci, tidak menerima melainkan yang suci.”(Riwayat Muslim)



Akan tetapi, ibadat seseorang serta fardu jemaahnya di dalam masjid itu adalah sah[7].


Kesimpulan



Islam adalah agama yang sejajar dengan fitrah manusia. Oleh itu, Islam mengharuskan hiburan dan pelbagai permainan. Mengikut prinsip hukum Islam, apa jua hiburan dan permainan adalah halal kecuali ada dalil yang menjadikannya haram.



Atas dasar ini, pada hakikatnya terdapat pelbagai hiburan dan permainan yang manusia boleh menceburinya dibandingkan apa yang tidak dibenarkan. Oleh itu, adalah satu kesilapan untuk mentohmah Islam sebagai satu agama yang sempit dan jumud kerana sikap tegasnya terhadap judi.



Islam melarang judi kerana ia menjadikan manusia menggantungkan harapannya kepada nasib, keuntungan yang tiba-tiba serta cita-cita kosong bukan kepada pekerjaan dan usaha melalui sebab musabab yang ditentukan oleh Allah taala.



Islam bertujuan untuk menjaga harta manusia dari musnah dan diambil secara salah. Sedangkan judi memusnahkan harta penjudi dan membuka pintu untuk mengambil harta orang lain melalui untung nasib semata-mata.



Wallahu’alam





[1] Dr. Aziz Dahlan, Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ickhtiar Baru, Jakarta, 1997, jld 3, ms 1053



[2] Ibid, jld, ms 1055.



[3] Sayid Sabiq, Fiqh Sirah, PT Al-Ma`arif, Bandung, 1987, jld 14, ms 141.

[4] Dinukil dari Dr Aziz Dahlan, Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ichtiar Baru, Jakarta, 1997, jld 3, ms 1055. Lihat Muhammad Abduh, Tafsir Al-Manar, juz 2.



[5] Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Halal Dan Haram Dalam Islam, Pustaka Islamiah, Singapura, 1995, ms 498.



[6] Dr. Azis Dahlan, Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ickhtiar Baru, Jakarta, 1997, jld 6, ms 1871

[7] Fatwa MUIS, rujuk www.muis.gov.sg

Jarak Antara Dunia Dan Akhirat

0 comments

Jabir bin Abdullah berkata, “Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah SAW maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya pula sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih.

Lalu dia menghampiri Rasulullah SAW dengan berkata: “Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?”

Maka Rasulullah SAW pun bersabda,”Dunia itu adalah impian orang yang tidur.”

Bertanya orang itu lagi, “Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Satu kumpulan manusia yang berada didalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada didalam Neraka Sa’ir.”

Orang itu bertanya lagi, “Apakah Syurga itu?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini.”

Bertanya orang itu lagi, “Apakah Jahanam itu?”

Maka bersabda Rasulullah SAW, “Jahanam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka yang mencarinya.”

Bertanya orang itu lagi, “Siapakah sebaik-baik umat ini?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah SWT.”

Orang itu bertanya lagi, “Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah.”

Orang itu bertanya lagi, “Seberapakah ketentuan taat itu?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah.”

Bertanya orang itu lagi, “Berapa jarak jauhnya dunia dengan akhirat?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Hanya sekadar memejamkan mata sahaja.”

Jabir melanjutkan ceritanya, “Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu selepas itu.”

Rasulullah SAW bersabda, “Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibrail as, dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat.

Bersabda Rasulullah SAW lagi, “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencipta makhluknya yang lebih dibenci selain dunia, bahkan dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya.”

Dunia ini adalah satu alam khayalan yang mana satu masa nanti ianya juga akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu bahawa akhirat sahaja yang kekal.
Gunakanlah dunia ini untuk kita mengumpul bekalan amal untuk dibawa ke akhirat, janganlah kita menjadi orang bodoh, sebab orang yang bodoh hnya suka mengejar dunia. Seluruh masa dan tenaganya dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan dunia.

12 Manfaat Solat Berjemaah

0 comments

Pertama , terjalinnya rasa kasih sayang antara sesama umat Islam. Kerana dengan perjumpaan antara satu dengan yang lain dan juga dengan berlakunya saling bersalaman di antara mereka tentu akan menyuburkan rasa kasih sayang di antara sesama mereka.

Kedua , terjadi perkenalan. Biasanya ada orang lain yang belum dikenali solat di bersama mereka nescaya mereka akan bertanya siapakah orang yang sembahyang bersama kita ini? Maka dengan itulah kemudian terjadi saling kenal mengenali (ta’ruf).

Ketiga , menampakkan salah satu syiar Islam. Kerana solat termasuk salah satu syiar Islam yang terbesar. Sehingga jika orang-orang dibiarkan saja untuk solat di rumah mereka masing-masing tentulah tidak akan mudah diketahui oleh orang yang beragama lain tentang kewajipan bersoalat.

Keempat , untuk menampakkan kewibawaan umat Islam, iaitu ketika para jamaah masuk secara beriringan ke masjid dan keluar darinya secara bersama-sama

Kelima , untuk mengajari orang yang jahil (belum tahu). Karena kebanyakan orang boleh memuat faidah tentang tata cara solat yang disyariatkan melalui media solat jamaah. Dimana seseorang bisa mencontoh makmum yang di sampingnya. Begitu juga makmum boleh mencontoh imamnya, dan faedah lain yang serupa.

Keenam , melatih umat Islam untuk bersatu padu dan tidak berpecah belah. Kerana di dalamnya para makmum akan sentiasa bersatu mengikuti seorang imam. Sehingga apabila dilihat dengan pandangan yang lebih luas lagi akan dapat menjadi pelajaran bagi kita untuk bersatu di bawah kepemimpinan seorang imam sehingga umat ini tidak akan berselisih dan bercerai berai.

Ketujuh , mengendalikan diri. Kerana apabila orang sudah terbiasa untuk terus menerus mengikuti imam secara detail, “Jika imam bertakbir, maka iapun takbir, “tidak berlengah-lengah, tidak mendahului dan juga tidak berterabur tetapi menuruti, maka dengan cara ini seorang insan tentu akan terlatih untuk bisa mengendalikan diri.

Kelapan , kaum muslimin akan merasakan bahawa mereka adalah seolah-olah dalam satu barisan mujahid di medan jihad. Allah ta’ala berirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah dengan bershaf-saf.” (QS. ash-Saff [61]: 4). Orang yang sudah terbiasa ditetapkan dalam barisan solat nescaya akan mudah pula ditetapkan ketika berada di barisan jihad.

Kesembilan , munculnya rasa persamaan di antara kaum muslimin. Kerana ketika itu orang yang kaya dan miskin bersatu, pemimpin dan rakyat bersatu, tua muda berkumpul, sehingga mereka akan merasakan kesamarataan. Oleh kerana itu Nabi SAW bersabda ketika meluruskan saf “Janganlah kamu berselisih (tidak lurus dan tidak rapat shafnya), kerana itu akan membuat hati-hati kalian berselisih.” (HR. Muslim)

Kesepuluh , boleh mengetahui keadaan saudaranya yang mungkin sakit sehingga tidak hadir solat jama’ah, kemudian menjenguknya, dll. Atau apabila saudaranya sedang kesusahan maka boleh dibantu. Allahu akbar, indah sekali syariat Islam ini!!

Kesebelas , berkumpul untuk beribadah kepada Allah.

Apabila orang ramai boleh berkumpul di stadium untuk menyaksikan permainan bola sepak, bahkan jumlah mereka itu boleh mencapai berpuluh ribu orang . Maka sesungguhnya mereka itu berkumpul untuk permainan yang bersifat lagho kerana ramai yang tertinggal solat alangkah indahnya jika kita beramai-ramai memenuhkan masjid juga, dapat beratus-ratus pun dah dikira gempak!

Betapa ramai orang boleh ‘berjemaah’ untuk menonton bola sepak, betapa ramai orang boleh berkumpul untuk kempen pilihanraya sampai-sampai jalan jadi jem, , betapa ramai orang boleh berkumpul untuk melihat pameran komputer , betapa ramai orang boleh berkumpul untuk konsert, AJL dan AIM tetapi untuk solat jamaah, untuk belajar di majlis ilmu, dll kenapa tidak boleh sebagaimana ketika berkumpul di stadium, di mall-mall,dewan pameran dan lain-lain?

Keduabelas , generasi akhir umat ini akan merasa terikat dengan generasi awalnya. Iaitu ketika mereka menjadi makmum sebagaimana dahulu para sahabat juga menjadi makmum. Salah satu dari mereka menjadi imam, sebagaimana dahulu Rasulullah SAW juga menjadi imam bagi para sahabat radhiyallahu’anhum. Sehingga masing-masing akan merasakan bahawa mereka sedang meneladani insan-insan yang mulia. Dengan demikian nescaya muncul dorongan yang sangat kuat bagi umat Islam sekarang ini untuk mengikuti generasi Salaf dan tingkah laku mereka.

Aduhai alangkah indahnya, seandainya setiap kali melakukan sebuah amalan syariat kita bisa merasakan hal seperti ini. Iaitu kita merasa sedang berusaha untuk mengikuti Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang mulia. Sesungguhnya dengan demikian tentulah orang akan memiliki motivasi yang sangat kuat di dalam hatinya yang akan mendorongnya untuk menyertai meniti jalan salafush shalih; sehingga dia menjadi seorang Salafi (pengikut Salaf). Bukan kerana masanya, akan tetapi kerana akidah, amalan, perilaku dan manhajnya (sesuai dengan jalan generasi Salaf, pent).