Search

Qunut Nazilah Dalil & Sejarah

Definisi "Qunut":
Sebelum kita bincangkan dengan lebih lanjut, ada baiknya kita mengetahui
terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan "Qunut".

Dari segi bahasa, "Qunut" mempunyai banyak makna. Antaranya ialah taat
dan mendirikan perintah Allah, solat, berdiri yang lama, pengabdian,
diam, khusyu' dan beberapa makna lagi.
(Rujuk: Lisan al-'Arab 2/73, al-Qamus al-Muhit 158, al-Munjid fi
al-Lughah 656).

Dari segi istilah, Ibn 'Allan menghuraikan maksud "Qunut" di sisi
syariat ialah satu nama bagi doa yang dibaca di dalam solat pada tempat
yang dikhususkan semasa berdiri. Menurut Syeikh Ibn 'Uthaimin, qunut
ialah satu istilah yang diberikan kepada doa yang sesuai dengan sesuatu
keadaan atau ketika berlakunya sesuatu bencana. Inilah apa yang
dinamakan sebagai qunut nazilah.
(Rujuk: Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fath al-Bari, 2/633. Ibn al-'Uthaimin,
Syarah Bulugh al-Maram, Kitab al-Solat, 224).

Definisi"Nazilah":

Kita telah mengetahui makna "qunut" secara ringkas, apa pula yang
dimaksudkan dengan "nazilah"?

Dari segi bahasa, "nazilah" ialah suatu keadaan yang gawat, mencemaskan
dan terdesak.

Dari segi istilah, ia bermaksud suatu keadaan bencana yang menimpa ke
atas umat Islam seperti adanya musuh, ketakutan, musim kemarau, wabak
penyakit atau sesuatu mudharat yang jelas menimpa umat Islam.

Hadis-hadis dan athar tentang qunut nazilah.

Setelah diperhatikan kebanyakan riwayat-riwayat yang menyebut tentang
doa qunut nazilah ini, didapati ianya terbahagi kepada dua bahagian:
1) Riwayat yang sahih,
2) Riwayat yang tidak sahih.

Pertama: Riwayat yang sahih

Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang thabit daripada Rasulullah saw
berkenaan dengan qunut nazilah. Hadis-hadis ini menjelaskan tentang
bagaimana qunut nazilah disyariatkan, tempat bacaannya, apa yang perlu
dibaca, bila ia bermula dan berakhir dan sebagainya.

Dalam tulisan yang ringkas ini, hanya akan menyebut beberapa contoh
penting daripada hadis-hadis tersebut.

· a) Riwayat Abu Hurairah r.a:
· - Abu Hurairah berkata: "Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah saw
selesai membaca (al-Fatihah dan surah), baginda bertakbir (untuk rukuk)
dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: "Sami'allahu
liman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu". Kemudian, baginda membaca doa
dalam keadaan berdiri: "Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid,
Salamah bin Hisham, 'Iyash bin Abi Rabia'h dan semua golongan yang
tertindas dari kaum mukminin. Wahai Allah, hancur dan musnahkanlah kaum
kafir yang memberi mudharat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun
yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf" . (Riwayat
al-Bukhari (no.2600) dan Ahmad 2/239, 396)
.

Di dalam riwayat Imam Muslim (no. terdapat tambahan doa seperti berikut:
"Ya Allah, laknatilah kabilah Lihyan, Ri'l, Zakwan dan 'Usaiyah yang
telah menderhakai Allah dan juga RasulNya".


Di dalam hadis ini menceritakan bahawa Rasulullah saw mendoakan supaya
Allah Azza wa Jalla menyelamatkan beberapa orang sahabat baginda yang
masih tinggal di Mekah. Selepas masuk Islam, mereka itu diseksa dan
diazab oleh kafir Quraish. Dengan keberkatan doa Rasulullah saw, mereka
semua selamat dan kemudian terus berhijrah kepada baginda di Madinah.

· - Abu Hurairah berkata: "Sesungguhnya aku akan dekatkan solat kalian
dengan cara solat Rasulullah". Abu Hurairah membaca doa qunut pada
rakaat terakhir dalam solat Zohor, 'Isya', dan Subuh, selepas beliau
menyebut: "sami'allahu liman hamidahu", beliau mendoakan kebaikan kaum
mukminin dan laknat ke atas golongan kafir". (Riwayat al-Bukhari (797),
Muslim (676).

Dalam riwayat ini, Abu Hurairah menggunakan caranya tersendiri supaya
orang lain mencontohi cara solat beliau. Ini kerana cara solat beliau
adalah yang paling sama dengan solat Rasulullah saw.

· b) Riwayat Anas bin Malik r.a
· - Muhammad bin Sirin berkata: Anas bin Malik pernah ditanya: Adakah
Nabi saw membaca doa qunut dalam solat Subuh? Jawab Anas: Ya. Ditanya
lagi: Adakah baginda berqunut sebelum atau selepas rukuk? Anas menjawab:
Selepas rukuk dalam tempoh yang sekejap sahaja.
(Riwayat al-Bukhari (1001), Muslim (677).


Yang dimaksudkan dengan "tempoh yang sekejap" ialah selama sebulan
seperti yang dijelaskan dalam riwayat 'Asim. Boleh juga dikatakan
maksudnya ialah dalam kadar masa yang sekejap sahaja seperti tempoh
rukuk dan sujud.
(Lihat: Fath al-Bari 2/632, 'Aun al-Ma'bud 2/225).

· - Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut
selepas daripada rukuk, selama sebulan di dalam solat Subuh, baginda
berdoa (laknat) ke atas Bani 'Usaiyah. (Riwayat Muslim). Di dalam
riwayat lain daripada Anas juga, dinyatakan bahawa baginda saw berdoa ke
atas Bani Ri'l, Zakwan, dan baginda berkata 'Usaiyah telah menderhaki
Allah dan rasulNya. (Riwayat al-Bukhari (4094), Muslim).


· - Dalam riwayat lain, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi saw
pernah mengutuskan seramai 70 orang yang terdiri daripada para qurra'
(yang alim dan mahir dalam bacaan al-Quran). Kumpulan para qurra' ini
dihantar untuk memenuhi permintaan beberapa kabilah seperti Ri'l dan
Zakwan. Apabila rombongan tersebut sampai kepada kabilah Ri'l dan Zakwan
berhampiran dengan sebuah telaga, dikenali telaga Mau'nah (Bi'r
Mau'nah), kabilah tersebut berkata: Demi Allah, bukan kamu semua yang
kami perlukan, sesungguhnya kami inginkan Nabi saw. Kabilah-kabilah
tersebut telah menipu dan khianat kepada Rasulullah saw. Mereka telah
membunuh semua 70 orang para qurra' tersebut. Apabila berita ini sampai
kepada Nabi saw, baginda amat sedih. Lalu, baginda berdoa (laknat) ke
atas kabilah-kabilah tersebut selama sebulan di dalam solat Subuh. Maka,
inilah permulaannya doa qunut. (Rujuk kisah ini dalam Sahih al-Bukhari
(4088).


- 'Asim al-Ahwal berkata: Aku bertanya kepada Anas bin Malik tentang doa
qunut, (adakah ia dibaca) dalam sembahyang? Anas menjawab: Ya. Aku
bertanya lagi: Ia dibaca sebelum atau selepas rukuk? Anas menjawab:
Sebelum rukuk. Aku bertanya lagi: Sesungguhnya si fulan memberitahuku
yang engkau pernah menyatakan qunut dibaca selepas rukuk. Anas berkata:
Tidak benar, sesungguhnya Nabi saw membaca doa qunut selepas rukuk
selama sebulan… (iaitu selepas daripada peristiwa Bi'r Maunah seperti
yang disebutkan di atas). (Riwayat al-Bukhari (4096), Muslim)

· c) Riwayat Ibn 'Abbas
· - Ibn 'Abbas berkata bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut selama
sebulan berturut-turut di dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, 'Isya' dan
Subuh di penghujung setiap solat, iaitu apabila baginda menyebut
"sami'allahu liman hamidah" pada rakaat terakhir, lalu baginda berdoa ke
atas kabilah-kabilah dari Bani Sulaim, dan orang yang dibelakang baginda
mengaminkannya. Kabilah-kabilah tersebut ialah kabilah yang telah
diutuskan kepada mereka (sekumpulan qurra') untuk mengajarkan mereka
agama Islam, lalu mereka membunuh para qurra' tersebut. 'Ikrimah
berkata: Ini adalah permulaan doa qunut. (Riwayat Ahmad 1/301), Abu Daud
(1443). Menurut Al-Albani di dalam kitabnya Irwa' al-Ghalil 2/163, hadis
ini adalah hasan)

· d) Riwayat Ibn Umar
· - Salim menceritakan daripada Ibn Umar yang beliau mendengar Nabi saw
menyebut di dalam solat Subuh, selepas baginda mengangkat kepalanya dari
rukuk pada rakaat terakhir: "Allahumma rabbana walaka al-hamd" .
Kemudian, baginda berdoa: "Ya Allah, laknatilah si fulan dan si fulan".
Lalu Allah turunkan ayat (yang bermaksud): "Engkau tidak berhak
sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu,
(kerana urusan mereka tertentu bagi Allah)"…(Ali-Imran:128)


· - Daripada Malik bin Nafi' katanya: "Sesungguhnya Ibn Umar tidak
membaca doa qunut di dalam mana-mana solat". Daripada sumber Abi
al-Sya'tha' katanya: "Aku bertanya Ibn Umar tentang doa qunut di dalam
solat Subuh, beliau berkata: Aku tidak rasakan ada seorang pun yang
melakukannya". (Riwayat Malik di dalam al-Muwatta' dengan sanad yang
sahih (379)
.

Maksud hadis ini bahawa Ibn Umar tidak membaca doa qunut di dalam
mana-mana solat iaitu tidak membacanya secara berterusan setiap hari,
bukanlah menafikannya secara mutlak. Ini kerana terdapat riwayat lain
yang menyebut beliau membaca doa qunut di dalam solat witir dan sebagainya.

· e) Riwayat al-Barra' bin 'Azib
· - Al-Barra' bin 'Azib menyatakan bahawa Rasulullah saw membaca doa
qunut pada solat Subuh dan Zohor. (Riwayat Muslim (678).

· f) Riwayat Abu Malik al-Asyja'ie
· - Malik al-Asyja'ie berkata: Aku bertanya ayahku: "Wahai ayahku,
sesungguhnya engkau telah bersembahyang di belakang Rasulullah saw, Abu
Bakar, Umar dan Uthman (di Madinah) dan dibelakang Ali di Kufah lebih
kurang selama lima tahun. Adakah mereka semua membaca qunut dalam solat
Subuh? Jawab ayahku: "Wahai anakku, itu adalah perkara baru dalam agama".


"Perkara baru dalam agama" yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah
melazimkan membaca doa qunut dalam solat Subuh dengan satu doa yang
khusus. Manakala membaca qunut nazilah disebabkan sesuatu musibah yang
berlaku adalah amalan yang thabit daripada Rasulullah saw dan
keempat-empat para khalifah. Oleh itu, difahami daripada hadis ini
bahawa Rasulullah saw dan para khalifah tidak melazimkan membaca doa
qunut Subuh setiap hari.

Kedua: Riwayat yang tidak sahih

Salah satu riwayat yang tidak sahih, tetapi popular dan sering digunakan
sebagai hujah ialah:

Riwayat Abu Ja'far al-Razi, beliau meriwayatkan daripada al-Rabi' bin
Anas, dan al-Rabi' meriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya: "
Rasulullah s.a.w berterusan membaca doa qunut pada waktu Subuh sehingga
baginda berpisah dengan dunia (wafat)"

Dalam satu riwayat lain disebutkan: "Sesungguhnya Nabi s.a.w membaca doa
qunut selama sebulan, baginda berdoa ke atas pembunuh para sahabatnya
(yang dibunuh) di Bi'ru Mau'nah, kemudian baginda tidak membacanya lagi.
Manakala dalam solat Subuh, baginda terus membaca doa qunut sehinggalah
baginda wafat".

Hadis ini daif disebabkan kecacatan yang ada pada perawinya iaitu Abu
Ja'far al-Razi. Beliau ialah Isa bin Mahan. Ramai ulamak hadis telah
memberikan komentar tentang dirinya dan menilainya sebagai seorang yang
daif di sisi ulamak hadis. Antaranya ialah Imam Ahmad, Ibn al-Turkimani,
Ibn al-Jauzi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, al-Syaukani,
Syuaib dan Abdul Qadir al-Arnaut dan lain-lain.

Hukum membaca Qunut Nazilah

Jumhur ulamak bersepakat bahawa tidak wajib membaca qunut nazilah, dan
meninggalkannya tidak membatalkan solat.

Menurut al-Qurtubi di dalam kitab al-Jami' Li Ahkam al-Quran: (Al-Tabari
menjelaskan bahawa telah menjadi ijma' meninggalkan qunut nazilah
bukanlah perkara yang membatalkan solat).
(Rujuk: Al-Qurtubi, al-Jami' li ahkam al-Quran, 2/129).

Ibn 'Uthaimin di dalam Syarah al-Mumti' menyatakan: (Telah ijma' para
ulamak bahawa qunut ini (nazilah) tidak wajib, tetapi afdhal untuk imam
membacanya).
Rujuk: Ibn 'Uthaimin, Syarah al-Mumti', 4/59).

Para fuqaha' berbeza pendapat tentang hukum membaca qunut nazilah ketika
berlakunya sesuatu musibah.

Pendapat yang lebih tepat (rajih) ialah pendapat para ulamak dari mazhab
Hanafi, Syafie dan Hanbali iaitu disyariatkan untuk membaca doa qunut
ketika berlakunya musibah. Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil yang
telah dinyatakan sebelum ini.

Apa yang perlu dibaca?

Menurut pendapat majoriti ulamak, tidak ada doa khusus tertentu yang
perlu dibaca di dalam doa qunut nazilah. Jadi, doa yang dibaca ialah apa
yang bersesuaian dengan musibah yang berlaku ketika itu.
(Rujuk: Badai' al-Sanai' (1/406), al-Istizkar (2/285), al-Mughni (2/587)

Oleh itu, dalam suasana musibah yang menimpa umat Islam di Palestin ini,
kita boleh berdoa semoga Allah membantu dan memberikan kemenangan kepada
mujahidin di sana. Semoga Allah menghancurkan kumpulan musuh iaitu
Zionis dan Amerika Syarikat. Semoga pakatan mereka
menjadi porak peranda, tentera-tentara mereka menjadi gementar dan takut
dan sebagainya. Semua doa ini dibaca dalam bahasa Arab.

Bolehkah Qunut Nazilah dibaca dalam semua solat fardhu?

Para ulamak berbeza pendapat di dalam hal ini. Menurut pendapat yang
rajih, doa qunut nazilah boleh dibaca di dalam semua solat fardhu.
Pendapat inilah dipegang oleh para ulamak mazhab Syafie, pandangan yang
tepat di kalangan ulamak mazhab Hanbali, sebahagian ulamak mazhab Maliki
dan majoriti ulamak hadis.

Pandangan ini berdasarkan hadis-hadis yang telah dinyatakan sebelum ini.
Sebagai contoh, hadis riwayat Ibn Abbas: Ibn 'Abbas berkata bahawa
Rasulullah saw membaca doa qunut selama sebulan berturut-turut di dalam
solat Zohor, Asar, Maghrib, 'Isya' dan Subuh di penghujung setiap solat…
(Riwayat Ahmad 1/301), Abu Daud (1443). Menurut Al-Albani di dalam
kitabnya Irwa' al-Ghalil 2/163, hadis ini adalah hasan).

Jadi, doa qunut nazilah ini boleh dibaca pada rakaat terakhir dalam
semua solat fardhu. Pendapat ini jugalah yang dipegang oleh Ibn
Taimiyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hazm, al-Syaukani dan lain-lain lagi.

Bolehkah Qunut Nazilah dibaca dalam solat-solat sunat?

Para ulamak berbeza pendapat dalam hal ini:

Pertama: Pendapat ulamak Mazhab Maliki dan Hanbali: Tidak ada bacaan doa
qunut dalam solat selain daripada solat fardhu yang lima.

Kedua: Pendapat ulamak mazhab Syafie: Boleh membaca qunut nazilah dalam
solat selain solat fardhu.

Pendapat yang tepat:

Pendapat yang tepat (rajih) -Allah yang lebih mengetahui- ialah pendapat
yang pertama. Ini kerana tidak terdapat hadis sahih mahupun daif yang
menyebut bahawa Rasulullah saw membaca doa qunut di dalam solat selain
daripada solat fardhu. Bahkan riwayat yang sahih menunjukkan bahawa
baginda hanya membaca qunut nazilah dalam solat fardhu. Doa qunut
merupakan ibadah khusus yang dibaca pada waktu yang khusus. Maka
pendapat yang menyatakan bahawa ia boleh dibaca dalam solat selain solat
fardhu memerlukan kepada dalil yang menerangkannya. Antara yang memilih
pendapat ini ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah.
(Rujuk: Ibn Uthaimin, al-Syarah al-Mumti', 4/56).

Bila hendak berdoa- sebelum atau selepas rukuk ?

Dalam hal ini terdapar tiga pendapat di kalangan para ulamak:

Pendapat pertama: Ulamak mazhab Syafie, mazhab Hanbali, satu pendapat
dari kalangan ulamak mazhab Hanafi dan Maliki: Qunut dibaca selepas
daripada rukuk.

Dalilnya ialah hadis riwayat al-Bukhari bermaksud: "Anas ditanya: Adakah
Rasulullah saw membaca doa qunut dalam solat subuh? Jawab Anas: Ya,
iaitu selepas rukuk".Pendapat ini dipilih oleh sekumpulan para ulamak
antaranya ialah Ibn al-Munzir, Ibn Hazm, al-Azim Abadi dan selain
mereka. (Rujuk: Nail al-Awtar 1/632, Subul al-Salam 1/224).

Pendapat kedua: Pendapat yang masyhur mazhab Maliki dan satu pendapat
dalam mazhab Hanafi: Qunut dibaca sebelum daripada rukuk.

Hujah mereka ialah Rasulullah saw membacanya sebelum rukuk. Begitu juga
dengan Uthman bin Affan, berdasarkan hadis riwayat Anas bin Malik (yang
telah disebutkan sebelum ini).

Pendapat ketiga: Salah satu pendapat mazhab Maliki dan Hanbali: Boleh
dipilih sama ada dibaca sebelum atau selepas rukuk.

Dalilnya ialah hadis riwayat Humaid, katanya: Anas ditanya tentang
bacaan qunut dalam solat subuh. Jawabnya: "Kami membaca qunut sebelum
rukuk dan ada juga selepasnya". (Riwayat Ibn Majah (1183).


Pendapat yang tepat:

Pendapat yang tepat -Allah lebih mengetahui- ialah pendapat ketiga. Imam
boleh memilih sama ada untuk membacanya sebelum atau selepas rukuk.
Pendapat ini juga berdasarkan amalan sebahagian sahabat seperti Umar dan
Uthman. Pendapat inilah yang dipilih oleh al-Bukhari, Ibn Hajar, Syeikh
al-Islam, Ibn Baz, Ibn Uthaimin, al-Albani.

Adakah imam membaca Qunut Nazilah dengan suara yang kuat (jahar) atau
perlahan (sir)?

Para ulamak berbeza pendapat dalam hal ini.

Pertama: Pendapat para ulamak mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie(bukan
pendapat yang tepat) iaitu imam perlu membaca doa qunut ini secara perlahan.

Mereka berdalilkan ayat 55, surah al-A'raf:
"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara)
perlahan-lahan."


Kedua: Pendapat para ulamak dari mazhab Syafie (pendapat yang masyhur),
mazhab Hanbali dan satu pendapat dari mazhab Hanafi iaitu qunut dibaca
dengan kuat (jahar).

Mereka berdalilkan dengan hadis-hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah
membaca doa qunut dengan suara yang kuat (seperti hadis-hadis yang telah
dinyatakan sebelum ini).

Pendapat yang lebih tepat (rajih):

Pendapat yang lebih tepat -Allah yang lebih mengetahui- ialah pendapat
kedua iaitu disunatkan imam untuk membaca qunut nazilah dengan suara
yang kuat dalam semua solat fardhu.

Pendapat ini berdasarkan hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh
al-Bukhari bahawa baginda saw menyaringkan suaranya ketika membaca qunut.
Terdapat juga hadis Ibn Abbas yang menunjukkan bahawa para makmum yang
dibelakang baginda mengaminkan doa qunut tersebut. Dan hal ini berlaku
hanya jika imam membacanya secara kuat.

Bolehkah doa Qunut Nazilah ketika solat berseorangan?

Dalam persoalan ini, terdapat empat pendapat di kalangan para ulamak:

Pendapat pertama: Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali: Tidak
boleh membaca qunut nazilah kecuali hanya pemimpin utama umat Islam di
dalam sesebuah negara Islam.
(Rujuk: Al-Syarh al-Kabir 4/136)

Pendapat kedua: Pendapat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan satu riwayat
dari mazhab Hanbali: Doa qunut ini boleh dibaca oleh semua imam yang
menjadi imam solat jemaah. (Rujuk: Hashiyah Ibn 'Abidin 2/390,
al-Istizkar 5/175, al-Majmu' 3/461, al-Insaf 4/136)

Pendapat ketiga: Satu riwayat dalam mazhab Hanbali, pendapat yang
dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan satu pendapat daripada
Syeikh Ibn 'Uthaimin: Setiap orang yang menunaikan solat fardhu boleh
membaca doa qunut ini, sama ada imam, makmum atau pun yang solat
bersendirian. (rujuk: Majmu' al-Fatawa 23/111)

Pendapat keempat: Satu pendapat di kalangan ulamak mazhab Hanbali dan
Ibn 'Uthaimin: Doa qunut ini adalah khas dengan izin pemimpin, jika
pemimpin memberi arahan, maka ia dibaca. (Rujuk: al-Furu' 1/484)

Pendapat yang lebih tepat (rajih):
Pendapat yang rajih -Allah lebih mengetahui- ialah pendapat yang ketiga
(satu pendapat dari Imam Ahmad dan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam)
iaitu doa qunut boleh dibaca oleh semua orang yang sembahyang; imam,
makmum dan juga yang sembahyang secara berseorangan. Pendapat inilah
yang dipilih oleh Syeikh Ibn Baz.

Pendapat ini berdasarkan dalil hadis riwayat al-Bukhari (maksudnya):
"Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku solat". Hadis ini secara
jelas menunjukkan bahawa perbuatan Nabi saw di dalam solat adalah
disyariatkan untuk semua kaum muslimin secara umum. Tidak ada pula dalil
lain yang mengkhususkan bahawa qunut nazilah ini hanya boleh dibaca oleh
imam sahaja atau pemimpin utama umat Islam.

Malah terdapat riwayat lain yang menunjukkan beberapa orang sahabat yang
turut membaca qunut ini sedangkan mereka bukanlah pemimpin utama umat
Islam ketika itu. Antaranya ialah Abu Hurairah, Anas, Ibn Abbas,
al-Barra', Muawiyah dan lain-lain lagi.

Bolehkah wanita yang solat fardhu di rumah secara berseorangan membaca
Qunut Nazilah?

Syeikh Abdullah bin Jibrin pernah ditanya tentang soalan ini.
Jawapannya: Wanita yang solat fardhu dirumah boleh membaca doa qunut
nazilah. Ini berdasarkan dalil-dalil yang umum daripada al-Quran dan
sunnah yang menunjukkan pensyariatan membaca doa.

Perbincangan tentang ayat 128, surah Ali Imran
Apakah sebab diturunkan ayat 128, surah Ali Imran?
"Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan
(orang-orang ang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah)".

Ibn al-Jauzi di dalam kitab Zad al-Masir, menyebut beberapa pandangan
tentang sebab ayat ini diturunkan, antaranya ialah:
1) Rasulullah saw telah tercedera dalam peperangan Uhud, luka dahinya
sehingga mengalir darah di mukanya. Lalu baginda berkata: Bagaimana
hendak berjaya bagi satu kaum yang telah sanggup bertindak sebegini
kepada nabi mereka. Baginda berdoa ke atas mereka itu. Maka turunlah
ayat ini. Ini ialah pendapat Ibn Abbas, al-Hasan dan Qatadah.

2) Rasulullah saw melaknat ke atas golongan munafik. Maka turunlah ayat
ini. Ini pendapat Ibn Umar.

3) 70 orang sahabat dari ahli suffah pergi kepada dua kabilah daripada
bani Sulaim iaitu 'Usaiyah dan zakwan. Lalu mereka semua dibunuh. Maka
Nabi saw pun mendoakan ke atas kabilah tersebut selam empat puluh hari.
Lalu turunlah ayat ini. Ini adalah pendapat Muqatil bin Sulaiman.

Apakah maksud ayat ini?

Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-'Azim, ayat ini
bermaksud segala urusan adalah kembali kepada Allah, seperti firmanNya
(bermaksud):

"Maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan
hukum-hukum yang Kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan
membalas amal mereka". (al-Ra'd: 40)


" Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang
kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan
petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan
memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya). (al-Baqarah: 272)


"Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah
petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam),
tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada
sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan
Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan
untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)". (al-Qasas: 56)


Adakah ayat ini telah memansuhkan Qunut Nazilah?

Menurut Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Jami' li ahkam al-Quran,
bahawa sesetengah golongan menganggap bahawa ayat ini telah memansuhkan
qunut yang dibaca oleh Nabi saw selepas rukuk pada rakaat terakhir dalam
solat Subuh. Mereka berhujah dengan hadis Ibn Umar yang beliau mendengar
Nabi saw menyebut dalam solat Subuh, selepas mengangkat kepala daripada
rukuk bacaan "Allahuma rabbana walaka al-hamd fi al-akhirah", kemudian
baginda membaca "Wahai Allah, laknatlah si fulan dan sifulan". Lalu,
Allah menurunkan ayat ini (ali imran: 128). Hadis ini telah diriwayat
oleh al-Bukhari dan Muslim daripada hadis abu Hurairah.

Namun, ini bukanlah bermaksud telah berlakunya mansukh. Tetapi Allah swt
ingin memberi peringatan kepada NabiNya bahawa segala urusan tidak
ditentukan oleh baginda. Dan baginda tidak mengetahui sesuatu pun
daripada perkara yang ghaib melainkan apa yang telah diajarkan
kepadanya. Sesungguhnya segala ketentuan itu kembali kepada Allah. Allah
akan menerima taubat dari sesiapa yang dikehendaki, dan akan
mempercepatkan hukuman ke atas sesiapa yang dikehendakinya…
(Rujuk: Al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 2/129)

Maka, pendapat yang lebih tepat (rajih) ialah digalakkan untuk membaca
qunut nazilah ketika berlakunya apa-apa musibah. Pendapat yang
menyatakan bahawa qunut nazilah telah dimansuhkan dengan ayat ini adalah
pendapat yang kurang tepat (marjuh).

Bolehkah mendoakan laknat ke atas orang kafir?

Dibolehkan mendoakan laknat ke atas orang kafir dalam qunut nazilah dan
menyatakan golongan tertentu di dalam doa sama ada doa kebaikan atau pun
doa laknat ke atas mereka. Pendapat ini dipilih oleh kebanyakkan para
ulamak, antaranya ialah Imam Malik, Imam Ahmad, Ibn Hibban, Ibn Battal,
Ibn Qudamah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, al-Nawawi, Ibn
Hazm, Ibn 'Asyur dan al-Sana'ni.

Telah thabit daripada sebahagian sahabat seperti Umar dan Abu Hurairah
yang mendoakan laknat ke atas orang kafir. (seperti hadis yang telah
disebutkan sebelum ini)

Al-Hafiz Ibn Hajar juga membahaskan perkara ini di dalam Fath al-Bari,
di dalam bab doa untuk kaum musyrikin. Rumusan daripada perbahasan
tersebut, boleh berdoa laknat ke atas kaum musyrikin dan hukum ini tidak
mansuh. Ada pun yang dilarang ialah doa ke atas orang kafir yang ada
harapan untuk melembutkan hati mereka supaya menerima agama
Islam….(Rujuk: Ibn Hajar, Fath al-Bari, Kitab al-Da'wat, Bab al-Dua' lil
musyrikin, 11/234).

Oleh itu, dalam hal mendoakan laknat ke atas golongan kafir ini, boleh
dibahagikan kepada dua keadaan:

Pertama: Orang kafir yang memerangi orang Islam; maka dibolehkan untuk
mendoakan laknat ke atas mereka. Pendapat ini dipegang oleh kebanyakan
para ulamak.

Kedua: Orang kafir yang menghormati agama Islam, tidak memerangi orang
Islam dan dilihat ada harapan untuk melembutkan hati mereka supaya
menerima Islam; maka tidak boleh untuk mendoakan laknat ke atas mereka.
Malah, didoakan supaya mereka ini mendapat hidayah dan bertaubat.

Inilah kesimpulan daripada gabungan dan penyelerasan di antara dalil-dalil yang berkaitan perkara ini.

Bolehkah mendoakan laknat ke atas seseorang orang kafir secara khusus?

Para ulamak berbeza pendapat dalam perkara ini. Menurut pendapat Syeikh
Ibn Uthaimin, beliau membawakan firman Allah Taala dalam surah
al-Baqarah, ayat 89:
"Maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang
kafir ingkar itu".


Menurut beliau, di antara pengajaran ayat ini ialah orang kafir layak
untuk mendapat laknat Allah dan ianya suatu yang pasti. Berdasarkan ayat
ini, sebahagian ulamak menjadikannya dalil bahawa boleh untuk mendoakan
laknat ke atas orang kafir secara khusus. Tetapi tidak ada dalil tentang
perkara ini. Ini kerana ayat di atas menyebut laknat ke atas orang kafir
secara umum dan ia pula adalah suatu pernyataan daripada Allah swt.
Tidak semestinya dengan pernyataan ini, dibolehkan juga untuk berdoa.

Antara bukti yang menunjukkan bahawa tidak boleh untuk mendoakan laknat
ke atas seseorang kafir secara khusus ialah Nabi saw pernah mendoakan
laknat ke atas si fulan dan si fulan yang terdiri daripada pemimpin
orang kafir. Lalu Allah melarang perbuatan baginda. Ini kerana, jika
seseorang kafir itu masih hidup, kemungkinan dia akan mendapat hidayah
Allah. Sekiranya dia telah mati, maka Nabi saw pernah bersabda
bermaksud: "Janganlah kamu mencerca orang yang telah mati…." (Riwayat
al-Bukhari)


Di tempat yang lain Allah swt berfirman maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami
turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami
menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat
oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk." (al-Baqarah:159)


Diantara pengajaran ayat ini ialah dibolehkan untuk mendoakan laknat ke
atas golongan yang menyembunyikan ilmu, secara umum. Tidak didoakan
secara khusus kepada individu tertentu. Ini kerana doa secara khusus ke
atas individu tertentu tidak dibolehkan walaupun ke atas mereka yang
termasuk dalam golongan yang layak mendapat laknat. Sebabnya, tidak
diketahui bagaimanakah keadaan dia akan mati. Kemungkinan dia akan
mendapat hidayah Allah, sepertimana peringatan Allah kepada baginda Nabi
saw:

"Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) Dalam urusan
(orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi
Allah), sama ada Dia menerima taubat mereka" (ali-imran, 128).


Renungan:

Jika kita perhatikan ayat ini sebaik mungkin, maka tidak terdapat
larangan secara jelas. Tetapi ianya menunjukkan suatu adab yang tinggi
dan manhaj yang kental dalam berhadapan dengan situasi kekalahan dan
memohon pertolongan daripada Allah. Ayat ini diturunkan dalam keadaan
umat Islam berhadapan dengan situasi yang getir dalam peperangan Uhud.
Suasana ini sangat memberi kesan yang pedih kepada pejuang Islam ketika
itu. Lalu, dalam keadaan itu, Rasulullah saw berdoa keburukan ke atas
pihak musuh. Seolah-olah baginda telah menutup sinar hidayah daripada
golongan tersebut disebabkan apa yang telah mereka lakukan. Jadi,
dibimbangi kaum muslimin akan menganggap bahawa sebab utama tertewas
dalam peperangan itu disebabkan golongan musuh yang didoakan laknat itu,
bukanlah disebabkan mereka itu mengingkari arahan Rasul. Lalu diturunkan
ayat tersebut.

Kemudian disebutkan sebab yang sebenarnya disebalik kekalahan itu. Allah
swt berfirman maksudnya:

"Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya (memberikan
pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka
(beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang
semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan
(perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah)
sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai
(kemenangan dan harta rampasan perang). di antara kamu ada yang
menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang
menghendaki akhirat…(Ali Imran, ayat 152).

Ayat ini menerangkan sebab yang sebenar disebalik kekalahan tersebut.
Seakan-akan Allah ingin menyatakan bahawa tidak ada manfaat jika kamu
melaknat mereka untuk meraih pertolongan dan janganlah kamu menjauhkan
mereka dari hidayah semata-mata untuk menghilangkan kesedihan kamu.

Dari sudut yang lain, kita perlu faham bahawa dalam menghadapi serangan
dan cengkaman pihak
musuh, tidak cukup sekadar berdoa dan mengutuk mereka sahaja. Tetapi,
seluruh umat ini harus bertindak dan berusaha memperjuangkan agamanya.
Semangat jihad perlu ditiupkan sentiasa dalam jiwa sanubari umat ini.
Tidak hanya sekadar duduk di atas tikar sembahyang, khusyuk berzikir
membilang biji tasbih sambil mengharapkan musuh-musuh Islam ditewaskan.
Para generasi agung salaf al-soleh adalah golongan yang soleh dan
semestinya ketaqwaan mereka jauh lebih mulia dari kita. Mereka yang
telah dijamin mendapat keredhaan Allah ini juga tidak hanya duduk di
dalam masjid beribadat dan berzikir. Tetapi, mereka tetap keluar
berdakwah, berjuang di medan jihad demi menegakkan agama. Sejarah Islam
telah mencatatkan kisah perjuangan mereka sebagai taudalan kepada
generasi seterusnya.

Marilah kita hulurkan bantuan kita kepada para pejuang yang ikhlas
membela kebenaran dan mempertahankan bumi Palestin tercinta. Biar jutaan
peluru dihambur, tetapi semangat juang mereka tidak pernah luntur. Malah
semakin banyak strategi yang disusun atur. Ramai musuh durjana yang
gugur tersungkur. Oleh itu, sokongan dan bantuan kita juga mesti
dihulur. Jangan mudah mengalah dan berasa lemah. Membaca qunut nazilah
bukan beerti menyerah kalah Berusahalah, kemudian kita pasrah dan
berserah kepada Allah yang Maha Gagah.

Wallahu'alam
Yang Benar Itu dari Allah dan Rasul
Yang Lemah dan Silap itu dari Hambanya

3 comments:

Azzikraa berkata...

Huffadz yang Menshahihkan Hadist Qunut Shubuh

“Sesungguhnya Nabi shallallahu alaihi wasalam melakukan qunut selama satu bulan, melakukan doa untuk para sahabat beliau di Bi’r Ma’unah, lalu beliau meninggalkannya, akan tetapi qunut waktu shubuh, maka beliau masih melakukan hingga wafat”

Hadits ini berada dalam Syarh Al Kabir (1/151).Hadits diriwayatkan Ad Daruquthni (2/39). Ahmad dalam Musnad (3/162), Hafidz Abu Bakar Khatib, dalam At Tahqiq Ibnu Al Jauzi (1/463), Al Baihaqi dalam Sunan Kubra (2/201).

Mereka yang menshahihkan
Hafidz Ibnu Shalah:”Hadits ini telah dihukumi shahih oleh lebih dari seorang huffadz hadits, diantaranya: Abu Abdullah bin Ali Al Balkhi, dari para imam hadits, Abu Abdullah Al Hakim, dan Abu Bakar Al Baihaqi. (Lihat, Badr Al Munir, 3/624).

Azzikraa berkata...

Al Hafidz Imam Nawawi mengatakan:”Hadits ini diriwayatkan oleh jama’ah huffadz dan mereka menshahihkannya”. Lalu menyebutkan para ulama yang disebutkan Ibnu Shalah, dan mengatakan,”Dan diriwayatkan Daruquthni melalaui beberapa jalan dengan sanad shahih (Al Khulashah, 1/450-451).

Al Qurthubi dalam Mafham :”Yang kuat diperintahkan oleh Rasulullah shalallhualaihi wasalam dalam qunut, diriwayatkan Daruquthni dengan isnad shahih, lalu beliau menyebut hadits itu” (Badr Al Munir, 3/624).

Hafidz Al Hazimi dalam Nashih wa Mansukh:”Hadits ini shahih, dan Abu Jakfar tsiqah” (Al I’tibar, 255).

Hafidz Ibnu Hajar Al Asqalani : Setelah menyebutkan penilaian para ulama terhadap Abu Jakfar, beliau mengatakan, “haditsnya memiliki syahid (penguat)” lalu menyebutkan hadits qunut shubuh yang diriwayatkan dari Al Hasan bin Sufyan. Ini menunjukkan bahwa beliau menilai hadits ini hasan (Talhis Khabir, 1/443). Penulis Ithaf fi Takhrij Ahadits Al ishraf menyatakan :”Ibnu Hajar menghasankan dalam Talhisnya”.

Azzikraa berkata...

Di halaman yang sama Ibnu Hajar mengatakan:”Hadist riwayat Al Baihaqi…dan dishahihkan Hakim dalam Kitab Al Qunut”.

Hafidz Al Iraqi:”Telah menshahihkan hadits ini Al Hafidz Abu Abdullah Muhammad bin Ali Al Bajili, Abu Abdullah Al Hakim dan Ad Daruquthni” (Tharh Tatsrib,3/289).

Perawi yang Disoroti dalam Hadts ini adalah Abu Jakfar Ar Razi
Bicara mengenai Abu Jakfar Ar Razi. Pendapat Imam Ahmad tentang Abu Jakfar, ada dua riwayat. Pertama. Diriwayatkan Hanbal dari Ahmad bin Hanmbal:”Shalih hadits” (haditsnya layak). Kedua, dari Abdullah, anaknya:”Laisa bi qawi (tidak kuat). Al Hazimi dalam Nashih wa Manshuh mengatakan: “Riwayat pertama lebih utama (Al I’tibar, 256).

Adapun penilaian Yahya bin Ma’in, ada beberapa riwayat:1, dari Isa bin Manshur, “Tsiqah”. 2, dari Ibnu Abi Maryam , “hadistnya ditulis, tapi ia sering salah”. 3, diriwayatkan Ibnu Abi Khaitsamah,”shalih”. 4, diriwayatkan oleh Mughirah,”tsiqah” dan ia salah ketika meriwayatkan dari Mughirah. Daruquthni mengatakan:”Dan hadits ini tidak diriwayatkan dari Mughirah”. 5, diriwayatkan As Saji “Shoduq wa laisa bimuttaqin, ( hafalanya tidak terlalu tepat)” Nampaknya karena periwayatan dari Yahya bin Ma’in lebih banyak ta’dilnya, maka-allahu’alam-para ulama yang menshahihkan merajihkan riwayat ta’dil.

Ali bin Al Madini: Ada dua riwayat darinya tentang Abu Jakfar. Salah satu riwayat mengatakan,”Ia seperti Musa bin Ubaidah, haditsnya bercampur, ketika meriwayatkan dari Mughirah dan yang semisalnya. Dalam riwayat yang berasal dari anak Ibnu Al Madini, Muhammad bin Utsman bin Ibnu Syaibah,”Bagi kami ia tsiqah”. Ibnu Al Mulaqqin mengatakan,”lebih utama riwayat dari anaknya (anak Ibnu Al Madini).

Muhammad Bin Abdullah Al Mushili mengatakan:”Tsiqah”. Bin Ali Al Falash mengatakan:”Shoduq, dan dia termasuk orang-orang yang jujur, tapi hafalannya kurang baik”. Abu Zur’ah mengatakan:”Syeikh yahummu katisran (banyak wahm). Abu Hatim mengatakan:”Tsiqah, shoduq, sholih hadits”. Abnu Harash:”Hafalannya tidak bagus, shoduq (jujur)”. Ibnu ‘Adi:”Dia mimiliki hadits-hadits layak, dan orang-orang meriwayatkan darinya. Kebanyakan haditsanya mustaqim (lurus), dan aku mengharap ia la ba’sa bih (tidak masalah). Muhammad bin Sa’ad:”Dia tsiqah”, ketika di Baghdad para ulama mendengar darinya”. Hakim dalam Al Mustadrak:”Bukhari dan Muslim menghindarinya, dan posisinya di hadapan seluruh imam, adalah sebaik-baik keadaan”, di tempat lain ia mengatakan:”tsiqah”. Ibnu Abdi Al Barr dalam Al Istighna:”Ia (Abu Jakfar) bagi mereka (para ulama) tsiqah, alim dalam masalah tafsir Al Qur’an.. Ibnu Sahin menyebutnya dalam “Tsiqat”. Al Hazimi dalam Nasikh dan Mansukh:”Ini hadist Shahih, dan Abu Jakfar tsiqah”. Taqiyuddin Ibnu Daqiq Al Ied dalam Al Ilmam, setelah menyebutkan hadits, ia mengatakan:”Dalam isnadnya Abu Jakfar Ar Razi. Dan ia ditsiqahkan, lebih dari satu ulama. Nasai mengatakan:”Laisa bil Qawi” (ia tidak kuat hafalannya).

Kritik untuk Ibnu Al Jauzi
Al Hafidz Ibnu Mulaqqin mengatakan: “Adapun Ibnu Al Jauzi hanya menukil riwayat yang menjarh saja, dari Ahmad, Ibnu Al Madini Dan Yahya bin Ma’in untuk menolong madzhabya. Orang munshif tidak akan berbuat sperti ini”.

Rujukan
Badr Al Munir :Ibnu Mulaqqin (guru Ibnu Hajar), Talhis Khabir (ringkasan Badr Al Munir): Ibnu Hajar. Tharh Tasrib: Hafidz Al Iraqi, Ithaf fi Tahrij Ahadist Al Ishraf (Takhrij hadist kitab fiqih Maliki “Al Ishraf”, dalam bimbingan Syeikh Al Muhadist Nur Syaif)